UMNO Buat Lawak Tepi Jalan Di Alor Setar
Pagi tadi ketika melalui Bulatan Teluk Wanjah, Alor Setar, saya melihat satu kain rentang besar di Bulatan Teluk Wanjah, Alor Setar. Kain rentang tersebut jelas kelihatan, kerana ia satu-satunya yang terpasang di situ. Mengikut Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), kain rentang tidak dibenarkan di pasang di bulatan tersebut kerana ia menghalang penglihatan pengguna jalan raya. Dulu pernah ada pihak yang meletakkan kain rentang di situ, tapi akhirnya diturunkan oleh MBAS. Sebab itu tiada pihak yang meletakkan kain rentang di kawasan yang tidak dibenarkan tersebut. Jelas, pihak yang meletakkan kain rentang itu pagi tadi seperti sengaja ingin mencabar undang-undang negara.
Apabila didekati, kelihatan kain rentang tersebut mempunyai logo keris yang menikam bumi dengan kata-kata "UMNO Mendaulatkan Raja Berpelembagaan". Oh, rupanya kain rentang UMNO! Kain rentang yang mungkin sengaja diletakkan ditempat yang tidak dibenarkan oleh undang-undang bagi membuktikan pihak yang meletakkannya tidak menyedari peraturan dan undang-undang atau sengaja untuk mencabar uindang-undang.
Saya tergelak berdekah melihat kata-kata, "UMNO mendaulatkan Raja Berpelembagaan" yang terpampang dalam kain rentang itu. Saya lihat seorang amoi di dalam kereta sebelah turut tersenyum bila melepasi kain rentang itu. Mungkin dia sedang terfikir apa yang sedang saya fikiri bila melihat makna di sebalik kata-kata di kain rentang itu.
Lalu teringatlah saya sejarah kedaulatan Raja berpelembagaan di negara ini selepas merdeka. Teringatlah tentang kedaulatan Raja-Raja yang dihakis oleh kerajaan BN dalam krisis perlembagaan pada 1983. Teringat juga episod imuniti Raja-Raja yang dihapuskan pada 1993 oleh kerajaan BN. Teringat bagaimana kejamnya media arus perdana pada 1993 yang dikuasai BN yang menelanjangkan kisah-kisah keburukan Raja-Raja dan kaum kerabat mereka, termasuk kisah gaya hidup, kekayaan dan kisah-kisah peribadi seperti suka berpoya-poya dan sering membuat salah laku. Lalu keluarlah kisah anak Raja yang memiliki kereta Lamborghini bernilai jutaan ringgit, ada yang santap dalam pinggan bersalut emas dan pelbagai lagi kisah yang dicungkil oleh media milik BN untuk memburukkan Raja-Raja. Bukan sahaja berita, filem-filem lama tentang kekejaman dan ketidak bijaksanaan Raja-Raja juga dipaparkan di TV ketika itu, termasuk kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Raja Bersiung, Musang Berjanggut, Lancang Kuning, Singapura Dilanggar Todak dan lain-lain lagi. Cerita-cerita itu pula diulang tayang di TV bukan sekali dua kali tapi banyak kali hingga berminggu-minggu lamanya.
Semua orang ketika itu tahu tujuan Kerajaan BN melakukan penghinaan terhadap Raja-Raja melalui media ketika itu adalah untuk membentuk persepsi rakyat bagi membenci Raja-Raja Melayu. Kerajaan BN cuba katakan Raja-Raja Melayu berperangai buruk dan oleh itu imuniti yang mereka nikmati harus dihapuskan. Percubaan menghina Raja-Raja Melayu oleh UMNO ketika itu sampai ke puncak apabila terdapat percubaan untuk melantik seorang Sultan baru di Kelantan oleh UMNO di bawah sepohon pokok!!
Dan kisah penghinaan UMNO terhadap Raja-Raja Melayu itu timbul lagi selepas PRU ke-12 tahun lepas di Terengganu dan Perlis. Kisah penghinaan UMNO terhadap Raja-Raja di Terengganu dan Perlis itu tidak perlu diceritakan lagi kerana semua orang sudah tahu dan ia masih segar dalam ingatan kebanyakan orang. Barangkali hanya segelintir pemimpin dan penyokong UMNO yang buat-buat terlupa sejarah sahaja yang tidak ingat cerita penghinaan parti itu terhadap Raja-Raja.
Kain rentang UMNO di Bulatan Teluk Wanjah itu mempunyai makna tersurat dan tersirat. Yang tersurat ialah hasrat UMNO untuk mendaulatkan Raja berpelembagaan. Yang tersirat ialah sejak dulu UMNO telah membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa merekalah sang juara yang tidak pernah segan silu untuk menghina Raja, memperlekeh Raja, memperbodohkan Raja dan akhirnya menghapuskan kebanyakan kuasa dan imuniti baginda.
Dan kini apabila UMNO menyatakan ingin mendaulatkah Raja-Raja ia tidak lebih dari satu cerita lawak tepi jalan yang tiada siapa percaya dan tiada nilai berita. Sejarah telah mencatatkan merekalah juara penghina Raja-Raja Melayu dan sejarah itu tidak akan terpadam dulu, kini dan selamanya.
Catatan: Apabila saya melalui Bulatan Teluk Wanjah sekali lagi petang tadi, kain rentang yang diletakkan di tempat yang tidak dibenarkan itu tidak kelihatan lagi. Mungkin telah diturunkan oleh anggota MBAS atau diturunkan sendiri oleh anggota UMNO yang mungkin baru menyedari mendaulatkan Raja berpelembagaan juga adalah bermakna menghormati undang-undang negara!
Tuesday, February 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment