SYAHADAH

Allahyarham Hussin bin Kassim 07-07-2010 Al-Fatihah

Allahyarham Hussin bin Kassim 07-07-2010 Al-Fatihah
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ayah

Wednesday, April 1, 2009

PPSMI lagi : Arghhhh bengangnya aku sebagai seorang ayah

saya benar2 tak faham kenapa beberapa kerat melayu umno yg pertahankan ppsmi..
semalam anak saya yg baru darjah satu pulang membawa kertas ujian.BM Alhamdulillah A.
Agama Alhamdulillah A.BI dapat B dan paling malangnya Sains hanya mampu C.kertas untuk matematik masih belum dapat katanya...saya semak kembali kertas ujian sains itu..soalan yang amat mudah dan saya percaya kalau ianya di dalam bahasa melayu..anak saya dan anak semua org pasti dapat A.cth soalan : dilukiskan muka orang dan disediakan ruang kosong untuk menjawab apakah nama anggota berkenaan seperti mulut,telinga,mata,hidung dan rambut...anak saya hanya mampu betul 1 iaitu nose..yang lain fail...

persoalan: ni soalan sains ni nak ajar untuk budak2 paham dan kenal anggota badan ker atau bahasa inggeris???bila saya semak pulak kertas ujian BI..saya rasa macam tak nampak apa beza ujian matapelajaran BI dan Sains..macam sama sahaja..penyudahnya ..yang di uji oleh pihak sekolah..bukan pemahaman sains tapi lebih kepada bahasa inggeris...

di bawah ada karya yang saya ambil dari nizam mat saari..ulasan profesor2 dan ilmuan tentang balasan komen dari Mahathir..(nampaknya Najib dah jadi PM ni..jgn haraplah PPSMI ni dimansuhkan...dari jauh si mahathir ni dah jeling jer..mamak keling cilaka ni bukan tau nak ngaku dia salah)


PPSMI Lagi: Pengukuhan Penolakan
Written by nizammatsaari on March 27, 2009 – 12:08 AM
Saya masih ingin lagi bercakap tentang PPSMI. Saya, menyokong supaya PPSMI dimansuhkan. Hujah saya ialah masalah komunikasi. Pelajar-pelajar sekolah rendah yang ramai terutamanya di luar bandar yang tidak pernah terdedah dengan bahasa Inggeris dan tidak berupaya bertutur bahasa Inggeris atau memahami butir bicara dalam bahasa itu akan lebih bermasalah untuk memahami sains dan matematik kerana diajar dalam bahasa yang sangat asing bagi mereka.

Bagaimanapun, saya masih menerima PPSMI jika digunakan di peringkat menengah atau di peringkat lebih tinggi di mana para pelajarnya sudah biasa dengan bahasa Inggeris. Tidak semua anak-anak Melayu terdedah dengan bahasa Inggeris di rumah melainkan di bandar-bandar atau di tempat-tempat yang orang-orangnya kononnya dikatakan lebih maju dan jengkel untuk berbahasa Melayu.

Hari ini saya berada di Seminar Islam dan Sains: Dakwah dalam Alaf Ketiga. Seminar ini dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dan Yayasan Ilmuan. Saya agak terkejut kerana profesor-profesor sains dan doktor-doktor dalam bidang sains sepakat mengatakan bahawa sains dan matematik tidak perlu diajar dalam bahasa Inggeris malah tidak boleh diajar dalam bahasa Inggeris di mana bahasa pertuturan pelajar-pelajar di rumah adalah bahasa Melayu. PPSMI hanya boleh digunakan jika sekiranya bahasa pertuturan pelajar-pelajar di rumah adalah bahasa Inggeris.

Saya menyangka mereka yang terdidik dalam bidang sains ini akan mempertahankan PPSMI namun pada hari ini barulah saya tahu [dan benarlah jangkaan saya dan ramai lagi pihak lain] bahawa PPSMI adalah suatu dasar yang dibuat terlebih dahulu tanpa sebarang kajian. Ya, PPSMI dibuat tanpa ada kajian dan tidak merujuk kepada pakar dalam bidang sains dan matematik pun, tetapi hanya menggunapakai rujukan orang-orang politik. Ini mengukuhkan penolakan saya terhadap PPSMI.

Di bawah ini ialah beberapa pendapat yang saya tulis kembali secara bebas dari hujah para pembentang kertas kerja dalam seminar pada hari ini:

Dr. Ratna Rashida Ab. Razak, Universiti Sains Malaysia (USM)

Dr. Ratna mengatakan daripada kajian yang dilakukan, menunjukkan penurunan minat pelajar terhadap mata pelajaran sains dan matematik disebabkan PPSMI malah sebenarnya tiada kejayaan yang memberangsangkan pun dalam mata pelajaran tersebut.

Menurut Dr. Ratna lagi PPSMI menunjukkan kecelaruan pendidikan. Dalam mendidik, bahasa adalah mediumnya. Bahasa adalah medium pendidikan, dan medium itu mestilah medium yang memudahkan untuk pendidikan itu diterima. Matlamatnya ialah untuk memahamkan ilmu sains dan matematik kepada para pelajar. Justeru, kalau bahasa Inggeris yang digunakan dan bahasa itu pula sangat asing kepada para pelajar, maka ia akan menambah ketidakfahaman pelajar itu kepada bahasa dan mata pelajaran sains dan matematik itu sendiri.

Katanya lagi, ilmu perlu dipermudahkan untuk difahami. Kalau pelajar tidak faham ilmu itu diterangkan dalam bahasa Inggeris, maka terangkanlah dalam bahasa Melayu, atau terangkanlah dalam bahasa Cina atau terangkanlah dalam bahasa India, bahasa Arab, Jawa, dan segala macam dialek bahasa yang mereka boleh faham.

Prof. Dr. Khalijah Mohd. Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Menurut Dr. Khalijah Mohd. Salleh, bahasa adalah wahana penyerapan ilmu. Ilmu itu diserap dengan bahasa yang seseorang itu faham. Di Malaysia, orang Melayu bercakap bahasa Melayu [yang tidak mahu jadi Melayu sahaja bercakap dalam bukan bahasa Melayu].

Penggunaan PPSMI telah menyebabkan “kuasa menyerap ilmu itu jatuh”. Para pelajar tidak dapat menyerap atau memahami ilmu itu dengan baik disebabkan mereka tidak faham apa yang sedang diperkatakan.

Menurut Prof. Khalijah lagi psikologi kanak-kanak dan pelajar peringkat rendah yang “dipaksa” belajar dalam bahasa yang tidak mereka fahami iaitu bahasa Inggeris telah menyebabkan mereka berasa terpaksa dan tertekan serta terbeban. Mereka melakukan sesuatu yang sebenarnya mereka tidak faham.

Apabila melangkah keluar dari pintu sekolah, mereka bercakap dalam bahasa Melayu bersama kawan-kawan dan bersama keluarga. Mereka bermain dan bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka bersosial dan bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka lebih terdedah dengan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik hanya tinggal dalam konteks itu sahaja. Bahasa itu tidak membawa mereka ke mana-mana.

Di rumah, ibu bapa yang tidak tahu bahasa Inggeris tidak lagi dapat menolong anak-anak mereka kerana masalah bahasa itu. Di sekolah, anak-anak diajar dalam bahasa Inggeris, di rumah ibu bapa melihat buku dalam bahasa yang tidak mereka fahami, bagaimana mahu membantu anak-anak belajar?

Prof. Dato’ Dr. Mohd. Yusof Hj. Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman dalam mengukuhkan hujahnya memberikan contoh-contoh yang lebih mudah. Kalau Tun Dr. Mahathir cuba menyenaraikan beberapa istilah sains dalam bahasa Inggeris yang menurutnya tidak boleh diterjemahkan dalam bahasa Melayu, Prof. Dr. Mohd. Yusof membuat perbandingan begini:

Di negara Barat tidak ada buah durian. Pelancong yang datang ke Malaysia diperkenalkan bahawa itulah buah durian dan sebutannya pun “durian”. Macamana benda itu hendak diterjemahkan dalam bahasa Inggeris? Dan persoalannya lagi kenapa pula mesti hendak diterjemahkan dalam bahasa Inggeris kerana itulah “nama khas” bagi durian.

Di Malaysia, buah epal datang dari negara Barat. Kenapa kita tidak terjemahkan “epal” dalam bahasa Melayu. Ya, sebab namanya epal. Justeru, kalau namanya durian, durianlah, kalau namanya epal, maka epallah. Apa masalahnya? Dalam sains dan matematik juga begitu. Terjemahan memang perlu dilakukan. Terjemahan tidak bermaksud setiap inci perkataan itu perlu diterjemahkan. Bahasa Melayu sangat dinamik malah boleh menyerap bahasa asing dengan baik.

Apa susahnya hendak mengajar kanak-kanak sekolah rendah dengan “satu campur satu jawapannya dua” (1 + 1 = 2). Bukankah kanak-kanak faham “satu campur satu jadi dua” dalam bahasa Melayu itu, kenapa pula hendak dipersulitkan dan disusahkan lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris, bahasa yang pada awalnya dia tidak faham langsung.

Mengajar kanak-kanak membuat eksperimen sains di peringkat rendah, bukankah mudah mengajar dan memberitahu mereka melakukan eksperimen dalam bahasa Melayu yang mereka boleh faham? Kenapa hendak disusahkan pula dengan bercakap dalam bahasa Inggeris. Bercakap sajalah dalam bahasa yang mereka faham.

Bayi umpamanya, kita sering bercakap “mamam” untuk menyuruhnya makan. Kita tidak menggunakan perkataan “makan” pada waktu itu kerana bayi pada waktu itu faham “mamam”, maka tak mengapalah, pakai sajalah kata “mamam” itu kerana itu yang dia faham. Apabila dia sudah besar, kita ajar pula dia dalam bahasa “makan”.

Ada beza dari segi penggunaan bahasa ketika menyampaikan sesuatu mesej atau ceramah bagi pelajar di universiti dengan berceramah kepada orang-orang kampung. Ini bukan soal memperlekehkan orang kampung, namun dalam berdakwah sekalipun kita disarankan bercakap dalam bahasa yang sesuatu kelompok atau golongan itu boleh faham. Itu saja.

Ertinya, dalam pedagogi, kita kena menggunakan bahasa dan pendekatan yang meereka boleh faham supaya ilmu itu sampai kepada mereka. Kata Prof. lagi, “apa susah sangat ke hendak menyuruh pelajar buat eksperimen sains dalam bahasa Melayu sehingga terpaksa guna bahasa Inggeris?”

Persoalannya, betulkah sains dan matematik itu, ilmu dan buku-bukunya hanya banyak dalam bahasa Inggeris? Inggeris sebenarnya melakukan usaha terjemahan dengan penuh komitmen dan sungguh-sungguh supaya ilmu itu difahami dalam bahasa mereka.

Tokoh-tokoh Islam seperti Ibn Sina, Al-Biruni, Ibn Khaldun semua karya-karya mereka diambil Barat dan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris supaya semua orang Barat cepat faham dan menyerap ilmu itu dalam bahasa mereka. Sepatutnya kalau menggunakan pendekatan PPSMI, mereka perlu mengajar dalam bahasa Arab kerana tokoh-tokoh Islam itu menulis dalam bahasa Arab.

Menyentuh tentang terjemahan ini, memang tradisi keilmuan menggalakkan terjemahan. Soal terjemahan memerlukan kos yang tinggi, memanglah tinggi kerana itulah tradisi keilmuan. Itulah cara mengembangkan ilmu. Barat, China, Jepun, India hatta Indonesia sekalipun aktif melakukan kerja-kerja terjemahan bagi mengembangkan ilmu. Dan dalam terjemahan ini, pakailah konsep “durian dan epal” tadi, katanya.

Menurut Prof. Dr. Mohd Yusof lagi, hendak mengajar sains, mestilah faham epistemologi sains. Hendak mengajar matematik, mestilah faham epistemologi matematik. Adalah salah belajar dan mengajar sains tetapi menggunakan epistemologi bahasa. Adalah salah mengajar dan belajar matematik tetapi menggunakan epistemologi bahasa. Dan adalah salah juga mengajar bahasa tetapi menggunakan epistemologi matematik.

Contoh akhir, kita semua belajar agama Islam asalnya dalam bahasa Melayu. Al-Quran dalam bahasa Arab. Hadith dalam bahasa Arab. Namun, kita semua di alam dan dilahirkan dalam keluarga Melayu, maka demi memahami Islam, kita diajar dalam bahasa Melayu. Yang kena kekal dalam bahasa Arab itu kita kekallah seperti ayat-ayat al-Qurannya atau hadis-hadisnya.

* * * * *

Dalam konteks ini, soal pemerkasaan bahasa Inggeris adalah soal lain. PPSMI bukanlah medan yang sesuai untuk dianggap “sambil menyelam minum air” di mana mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris maka secara automatik, bahasa Inggeris pelajar itu juga akan mantap. Ini salah. Ini adalah suatu kecelaruan dalam pendidikan. Sudahlah pelajar tidak faham bahasa Inggeris, lebih teruk pula pelajar juga terkial-kial untuk memahami sains dan matematik.

Kalau hendak memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris, maka lebih baik kita bercakap dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sahaja. Fikir secara kreatif dan tetapkan metodologi yang lebih efisyen untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Tidak perlu mencampur-adukkan bahasa Inggeris dengan mengganggu pula mata pelajaran sains dan matematik.

Demikianlah sebahagian daripada puluhan sebab kenapa PPSMI mesti dimansuhkan. Sayangnya, di Malaysia, yang berkuasa adalah orang politik dan mengambil tindakan demi kepentingan politik sahaja. Pendapat cendekiawan dan cerdik pandai biasanya dipandang sinis dan dianggap tidak memenuhi aspirasi politik mereka.

Sama-samalah kita fikirkan!

No comments: